OKTOBER 2024

Premier Sarawak Kongsi Visi Sarawak Dalam Sesi Townhall Sarawak Agenda Di MITEC


KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, telah berkongsi pandangan serta hala tuju Sarawak dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui. 

Dalam sesi townhall bertajuk Sarawak Agenda: Sesi Townhall Bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC) hari ini, Premier Sarawak menekankan kepentingan empat perkara utama yang menjadi fokus kerajaan negeri, terutamanya dalam aspek tenaga.

Beliau menyatakan bahawa dunia kini berhadapan dengan cabaran perubahan iklim yang memerlukan penyelesaian segera. Menurut beliau, Sarawak berpotensi untuk menyumbang kepada penyelesaian global dalam hal ini melalui penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hidro. “Sarawak kini menghasilkan 70% tenaga elektrik daripada sumber hidro dan 17% daripada gas. Kami terus berusaha meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui ini,” ujar Abang Johari.

Premier Sarawak juga menegaskan bahawa negeri itu sudah mula mengkaji potensi untuk menggunakan tenaga hijau dari sumber semula jadi seperti sungai-sungai di Sarawak yang tidak hanya bermanfaat dari segi tenaga, tetapi juga tidak menjejaskan alam sekitar. “Kita merancang untuk menghasilkan elektrik daripada sumber air yang mengalir tanpa mengganggu alam sekitar, dan projek ini akan melibatkan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Selain itu, Sarawak juga meneroka penggunaan tenaga suria dan teknologi hidrogen. Projek seperti di Batang Ai yang kini menjana 108 MW menggunakan kombinasi tenaga hidro dan suria adalah contoh bagaimana Sarawak terus memperkukuh keupayaan tenaga hijau.

Dalam sesi tersebut, Premier Sarawak turut menyentuh peranan Sarawak dalam menyediakan tenaga kepada Semenanjung Malaysia dan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. “Sarawak akan terus menjadi hab tenaga di ASEAN, dan kita akan berkongsi tenaga bersih ini dengan rakan-rakan kita,” katanya.

Abang Johari juga berkongsi rancangan untuk mengembangkan teknologi hidrogen sebagai alternatif kepada bahan api fosil, yang dijangka menjadi sumber tenaga utama bagi pengangkutan pada masa depan. Beliau menyatakan bahawa Sarawak sedang berada di landasan yang tepat untuk menjadi peneraju dalam bidang ini, sekali gus membuka peluang ekonomi hijau yang lebih luas.

Selain aspek tenaga, Premier Sarawak juga menekankan kepentingan membangunkan infrastruktur siber dan fizikal yang berkualiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan ekonomi hijau Sarawak. Usaha ini termasuk pembangunan sistem pengangkutan dan penambahbaikan jaringan jalan raya serta jambatan di seluruh negeri.

Akhir kata, Premier Sarawak mengingatkan anak-anak muda Sarawak untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi hijau. “Sarawak kaya dengan sumber, dan kita perlu menggunakan kebijaksanaan kita untuk memastikan kekayaan ini dinikmati oleh semua rakyat,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, enam anak Sarawak terpilih menyertai Program AFFIN Management Trainee 2024. Turut berlangsung Majlis Penyerahan Inisiatif Kerjaya Kenyalang, Majlis Penyerahan Bantuan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Abang Johari turut menyampaikan Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (BYSST) dan Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (Ybstr). 

Turut hadir, Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Perpaduan Malaysia, Dato Sri Ago Ak. Dagang @ Aaron Ago Dagang; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Hajah Nancy binti Haji Shukri; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki; Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni.